Isnin, 22 Jun 2015
Assalamualaikum suami yang ku kenali seawal remajaku, yang dipilih Allah SWT untuk menjadi imamku, yang diperintahkan Allah SWT untuk menjadi penghulu zuriatku.
B,
Malam semalam sayang bermimpi. Mimpi paling dahsyat seusia sayang tiga puluh tahun ini. Mimpi yang membuatkan sayang menangis di dalam tidur, yang esaknya terzahir di pipi tatkala lena itu tersentap dalam hening sepertiga malam. Sambil menyapu deraian air mata, getaran kencang di dada ini mereda mendengar dengkuranmu dan puteri-puteri kita. Syukur ya Allah, suami dan anak-anakku masih bernyawa!
B,
Mimpi itu terlalu dahsyat gambarannya bagi seorang isteri yang baharu enam puluh satu bulan menjadi suri hidupmu. Dalam mimpi itu, sayang dan anak-anak baru pulang dari kampung. B tidak membukakan pintu untuk kami seperti selalu. Sayang sangka B sedang tidur. Ya, benar! B memang sedang tidur, dalam posisi mengiring yang serupa, di atas alas yang sama ketika kami meninggalkan rumah kita, dua minggu sebelumnya. Bezanya di situ, jasad B yang gagah sudah mulai mereput dan berulat bersama-sama t-shirt hitam All Black dan slack rona koko kegemaran B itu.
Sayang tersentak, sangat terkejut. Zunur di dalam dukungan hampir meluruh ke lantai. Zihni di sisi sayang juga terkejut yang amat. Spontan dia merentap blaus yang sayang kenakan sambil menekup mukanya ke pinggang sayang. Ya Allah, telah Kau ambil suamiku saat ketiadaan ku?
Sayang mengumpul kekuatan, mengheret anak-anak keluar dari rumah yang sepatutnya mengerikan itu tanpa perasaan takut. Sayang merancang untuk ke balai polis di hadapan rumah kita tetapi kaki ini membawa kami tiga beranak menyusuri lebuh raya ke rumah emak dan ayah sayang.
Kami berjalan. Lama dan jauh. Sehingga hujan renyai mula membasahi sayang dan anaj-anak. Saat itu, sayang mulai gusar dan sedih, rasa sendiri dan lemah. Sayang bawa kedua-dua puteri kita duduk di sebuah gazebo di tepi jalan. Zunur kesejukan. Zihni ketakutan. Sayang kebuntuan.
Teknologi canggih seolah-olahnya tidak wujud ketika itu. Sayang tidak langsung terfikir untuk menelefon mahupjn mengWhatsapp sesiapa. Dalam gundah itu, sayang susukan kedua-dua anak kita sambil membacakan surah Yaasin yang tiba-tiba sudah di tangan. Sehingga tiba bacaan pada ayat kedua belas.
إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَىٰ وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ
Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.
Ketika itu, sayang mula menangis. Anak-anak berhenti menyusu dan ikut menangis. Sayang tertanya-tanya musibah apakah yang sedang menguji sayang ketika ini, mengapakah sayang ditimpakan dugaan sebegini bersama dua orang anak yang belum mampu mengerti ini. Sayang menangis teresak-esak. Terasa seluruh kudrat meluruh ke kaki tatkala terbayangkan jasad B yang tidak sempurna lagi. Kemudian, sayang bawa semula anak-anak pulang ke rumah kita. Jauhnya tidak terasa. Sejuk hujan juga seolah tiada. Kami sama-sama menangis. Tangisan anak-anak yang paling sayu tidak pernah sayang dengari sejak menjadi ibu.
Tiba semula di teratak kecil kita, jasad B yang tidak sempurna itu juga sudah selesai dikafankan. Sayang bawa anak-anak mendekat. Sayang tunjuk wajah B, satu-satunya bahagian yang masih sempurna pada tubuh lelaki yang paling kali kasihi. Zihni mengusap dahi B. Anak itu amat tidak mampu menahan tangisannya. Zihni amat rapat dengan B, siapa yang mampu menidakkan itu? Zunur juga seolah-olah faham. Dia turut mengusap pipi B. Sehari dua ini, si kecil kita juga mulai rapat dengan B.
Lepas itu, sayang tersedar dari mimpi dahsyat itu.
Dada Android memaparkan 2:29 AM.
MasyaAllah... Peringatan apakah ini?
B,
Sayang tidak mahu kehilangan B dengan cara yang sebegitu, mahupun apa cara sahaja. Kehilangan itu sangat menyakitkan. Tetapi siapalah kita untuk menidakkan kuasa Sang Pencipta. Satu hari nanti pasti Dia akan mengambil pulang B atau anak-anak kita dari sisi sayang, atau mungkin mengambil semula sayang daripada kalian. Itu kepastian. Maka dalam masa yang amat singkat ini, bimbinglah sayang menjadi isteri paling taat dan baik untuk B, juga momy yang paling sabar dan redha untuk Zihni dan Zunur. Jadikanlah hari-hari singkat kita bersama ini sebagai sebuah syurga dunia yang berkat supaya tatkala sampai ketikanya nanti, semua kenangan indah kita bisa menutup semua gundah saat aku kehilanganmu. Tidak mengapa jika hidup kita tidak mewah, asalkan kita sentiasa bersama-sama, selamanya, Insya-Allah.
Sayang doakan B sentiasa selamat dalam perjalanan pergi dan pulang sepanjang mencari rezeki menyara keluarga kecil kita. Juga semoga setiap langkah kaki B sentiasa berada di bawah payungn rahmat dan limpah kasih Allah SWT. Jangan lupa, kita amalkanlah solat di awal waktu dan tidak sesekalli menidakkan hak-Nya. Sungguh hubungan yang berkat ini bukan dalam limpahan harta yang membukit tetapi pada sebuah kesyukuran yang tiada penghujung.
Salam sayang,
Isterimu
0 precious comments:
Post a Comment